Jumat, 17 April 2020

Makhluk Halus Tumpang Menjala

Wawan Setiawan Tirta


Tetamu tidak diundang turut sama berkongsi kegembiraan melihat tangkapan dalam jala

SAIFUL sudah bersiap sedia sejak awal hari minggu itu dengan jala, joran dan umpan. Dia tidak mahu rancangannya bersama rakan-rakan untuk memancing atau menjala terbantut lagi. Sudah beberapa kali hasrat mereka tidak kesampaian kerana ada saja aral melintang.

Jika tidak kerana dia yang ada hal, rakan-rakan yang lain pula tidak dapat beri komitmen. Kesudahannya, hasrat mereka terpaksa dilupakan buat sementara. Namun kali ini Saiful dan rakan-rakannya nekad. Sebarang masalah kecil diketepikan dulu demi melaksanakan hajat yang sudah dirancang sekian lama. Tambahan pula desakan meneruskan hobi memancing dan menjala itu bagai tidak dapat dibendung lagi.

Pada hari dijanjikan, Saiful dan empat rakannya bertolak ke tempat dipersetujui berhampiran pantai Penaga yang terletak di Seberang Perai Utara dengan harapan mendapat habuan lumayan.

Masing-masing tidak sabar untuk sampai berbekalkan matlamat yang satu - memperoleh banyak ikan tanpa menyedari mereka bakal berdepan pengalaman yang akan diingati sampai bila-bila.
Sesampai ke tempat yang dituju, rakan-rakannya bergegas mencari tempat berlabuh yang sesuai sebelum hari gelap. Sementara Saiful masih berlengah-lengah berhampiran kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ. Dia mundar-mandir di situ sehingga menimbulkan kehairanan rakan-rakannya.

Mereka menyangka Saiful tidak mahu tergesa-gesa kerana berdasarkan apa yang didengari, kawasan itu penuh dengan ikan tidak kira di mana pun joran dilemparkan. Malah, mengikut cerita penduduk, tiga atau empat kali menjala jika kena pada tempatnya sudah memadai untuk pulang dengan ikan yang banyak.

Apa yang mereka tidak ketahui ialah makhluk yang selama ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar sudah menampakkan kewujudannya kepada Saiful. Makhluk itu bertenggek di atas sebatang pokok berhampiran tempat yang dipilih rakan-rakannya untuk memancing.

Saiful nampak dengan jelas makhluk itu memerhatikan rakan-rakannya yang beriya-iya membentangkan tikar, berebut mencari tapak terbaik dan tidak sabar-sabar melemparkan joran masing-masing.
Dia memikirkan cara terbaik memberitahu rakan-rakannya mengenai kehadiran makhluk tidak diundang itu. Memang semua rakannya itu kuat semangat tetapi kehadiran makhluk halus perlu disampaikan dengan cara lembut supaya tiada yang terkejut dan mungkin ada yang bertempiaran lari.

Menyedari Saiful yang belum menyertai mereka, salah seorang rakannya, Ali, segera memanggil.

“Hoi! Tunggu apa lagi. Cepatlah ke sini,” Ali melaung selepas melemparkan jalanya ke dalam sungai, sambil melambai-lambai tangan kepada Saiful. Saiful tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak sempat dia memberi amaran, Ali sekali lagi memanggilnya menyertai mereka.

Apa yang pelik ialah makhluk halus yang sejak tadi bertenggek di atas pokok terlebih dulu menyahut panggilan Ali seolah-olah dia yang dipanggil. Dari kedudukannya, Saiful nampak dengan jelas dia terjun dari pokok dan berjalan ke arah rakan-rakannya dalam jelmaan hitam dan besar.

Lebih tidak masuk akal apabila makhluk itu turut menjenguk ke dalam jala yang dilemparkan Ali seolah-olah mahu sama-sama berkongsi kegembiraan dengannya yang mendapat ikan.

Kehadiran makhluk halus di sisi masih tidak disedari rakan-rakan Saiful yang semakin seronok selepas kail mereka diragut setiap kali umpan baru dipasang.

Dalam keghairahan Ali melemparkan jala, baru dia tersedar dengan kehadiran makhluk berkenaan.

Dia benar-benar terkejut dan sedikit melatah tetapi semangat lelakinya masih kental untuk dipersendakan makhluk berkenaan. Ternyata, makhluk halus itu suka menjala ikan.

Tanpa menghiraukan makhluk itu, Ali terus melemparkan jala cuma kali ini dengan sedikit berhati-hati kerana bimbang makhluk itu menolaknya ke dalam air. Mulutnya juga kelihatan berkumat-kamit seolah-olah sedang membaca sesuatu dan sekali sekali kelihatan dia seperti sedang menghembus sesuatu.

Makhluk itu akhirnya hilang sendiri selepas kehadirannya tidak dihiraukan Ali, manakala rakan-rakan yang lain seronok melayan ikan yang meragut umpan.

Sehingga hari ini, Saiful tidak dapat menjelaskan cerita mengenainya kepada rakan-rakan lain, selain Ali yang turut melihatnya. Sejak itu jugalah, Saiful tidak lagi ke tempat itu dan sering menolak jika diajak memancing oleh rakannya, lebih-lebih lagi jika dia ada mendengar cerita ‘ganjil’ mengenai kawasan itu.



Credit To Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my