Jumat, 17 April 2020

Sapaan jururawat

Wawan Setiawan Tirta

KEBANYAKAN daripada kita pasti bersetuju bahawa hospital adalah antara tempat yang tidak sesuai untuk bergurau atau berjenaka. Tempat seumpamanya sudah banyak membawa khabar dan cerita pelik yang berbaur mistik.

Bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi fenomena yang mahu diceritakan semula ini hanyalah untuk renungan bersama. Ia adalah peringatan bahawa dalam dunia yang kita diami, bukan manusia sahaja yang mutlak mengisi dimensi ruang dan waktu.

Terjadi di sebuah hospital yang terletak di sebelah pantai barat negara ini, Diya sudah tiga minggu menemani tunangnya, Aziz, yang terlantar akibat menjalani pembedahan membetulkan kedudukan tulang kaki yang patah akibat kemalangan jalan raya.

Sering berada di hospital selepas waktu kerja, malah biasa bermalam menemani kekasih hatinya itu, Diya secara tidak langsung sudah mengenali ramai pesakit dan petugas di hospital itu.

"Hendak dijadikan cerita, pada hari pertama keempat aku menjaga Aziz di hospital lebih kurang dalam pukul 11 malam di tingkat tujuh, aku terjumpa seorang jururawat. Lengkap dengan pakaian seragam berwarna putih di hadapan kaunter," Diya memulakan cerita.

Kata Diya, dia sangat mengenali jururawat itu. Namanya Yanie. Sejak hari pertama Aziz di hospital, Yanie memang sering dalam syif. Jadi, pada malam Diya terserempak dengan Yanie, mereka berbalas pandangan. Diya tersenyum lalu menyapa dia.

"Syif malam lagi hari ni? Kerap juga nampak awak...." Itu yang Diya ucapkan kepada Yanie yang hanya membalas dalam tersipu-sipu; "Ya, kerja malam ni. Tiap-tiap malam saya nak kerja."

Jawapan itu sedikit pun tidak mencetuskan tanda tanya dalam kepala Diya hinggalah dia akhirnya tertidur di sisi katil Aziz kemudiannya.

Disapa terbit matahari pagi keesokannya, Diya dikejutkan oleh bunyi kedatangan seseorang. 'Eh, Yanie masih berjaga?' Kata Diya dalam hati. Pagi itu Yanie mengenakan uniform yang berbeza. Kemeja putih dan berseluar hitam. Yanie datang untuk memeriksa peralatan rawatan dalam wad tersebut.

"Awak tak balik lagi? Siap tukar uniform lagi," tanya Diya sambil menggosok mata malas paginya.

"Bila pula saya datang, kak? Saya baru masuk kerja ni lepas dua hari cuti. Ni memang uniform saya. Saya hanya pembantu teknikal. Bukan jururawat," jawabnya yang membuatkan Diya terlopong.

"Tapi malam tadi akak tegur awak. Kita jumpa depan kaunter. Awak pakai uniform putih jururawat," Diya cuba meyakinkan apa yang dilihat malam sebelumnya.

"Akak jangan main-main. Saya baru masuk kerja hari ni. Saya bukan jururawatlah,'" Yanie memberitahu sambil sengih. Kemudian dia tiba-tiba menutup mulut dengan tangan sementara dahinya berkerut. Cepat-cepat dia menarik tangan Diya ke luar wad, sebelum perbualan didengari Aziz yang masih lena.

"Akak, dengar saya cakap ni ya. Jangan beritahu sesiapa, terutamanya tunang akak tu. Nanti dia takut tinggal keseorangan," kata Yanie seakan berbisik.

"Apa dia?" tanya Diya.

"Begini, tiga hari sebelum tunang akak masuk wad, ada kes bunuh diri dalam hospital ni. Ada seorang wanita mati gantung diri dalam bilik dia di tingkat sembilan. Dia tak dapat terima hakikat yang dia disahkan berpenyakit dan tidak boleh hidup lama," terang Yanie dalam sedikit menggeletar.

Sambung Yanie, semenjak itu ada saja orang yang menemukan perkara pelik dalam hospital itu. Paling kerap adalah kes 'duplikasi'. Ramai orang terkeliru dan terkejut bila ada jelmaan yang asyik menyerupai petugas-petugas hospital.

Mendengarkan cerita Yanie, Diya terdiam. Terus terdiam dan tidak mahu mengulas apa-apa selepas itu. Sepanjang hari dia berani dalam takut. Berani kerana mahu menemani Aziz, takut kerana tidak mahu berjumpa dengan staf hospital yang 'palsu' itu.

'Ah! Biarlah, dia tak kacau aku. Bukannya hantu jahat pun!' Diya menenangkan hati sendiri.

Malam itu, Diya menggagahkan diri kerana mahu menemankan Aziz yang tidak tahu apa-apa tentang kejadian itu. Waktu itu pukul 10.30 malam. Sambil membaca majalah, Diya sesekali menjeling ke arah jururawat bernama Hafizah yang memeriksa bengkak di kaki Aziz.

"Dia dah lena tidur. Awak pun tidur ya. Jangan berjaga malam," ujar Hafizah yang hanya dibalas senyuman dan anggukan perlahan Diya. Kemudian dia memeriksa pesakit di katil sebelah Aziz dan meninggalkan wad.

Sempat menoleh ke arah Hafizah melangkah, Diya terjerit kecil. Dia tersentak, dan darahnya bagai berhenti mengalir. Pandangannya tiba-tiba kabur dan gelap. Diya tidak bermaya. Dia ternampak Hafizah berjalan menembusi dinding!